SHAH ALAM: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM6.3 juta menerusi serbuan di Kuala Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Feb hingga 2 Mac lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama, pemeriksaan terhadap satu bungkusan mengandungi mesin pembakar wafel di bahagian kargo KLIA pada 28 Feb menemukan tiga bungkusan dadah jenis syabu seberat 3.094 kilogram (kg).

Beliau berkata susulan penemuan itu pihaknya memberkas dua lelaki berusia 27 dan 31 tahun pada 1 Mac di pintu pelepasan domestik KLIA.

Katanya modus operandi sindiket adalah dengan menghantar dadah melalui perkhidmatan kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk tujuan pengedaran di Sarawak.

"Susulan tangkapan tersebut, dengan dipandu arah kedua-dua suspek ke sebuah rumah di Kajang, turut menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 20 kg, syabu 126.42 gram dan ketamin 75.6 gram dengan keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini berjumlah RM2.2 juta.

"Polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM60,000. Kami percaya ini merupakan kali keenam mereka melakukan aktiviti ini sejak Januari tahun ini sebelum berjaya digagalkan polis baru-baru ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin.

Bagi kes kedua, Hussein berkata dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Selangor pada 28 Feb, pihaknya menahan lima lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah jenis ketamin seberat 40.81 kg, syabu (1.03 kg), Erimin 5 (127.55 gram) dan caffeine (8.52 kg).

Beliau berkata hasil daripada serbuan tersebut, pihaknya dengan dipandu arah seorang suspek ke sebuah rumah di Tanjung Karang menemukan dadah jenis Erimin 5 seberat 12.14 kg, MDMA (3.2 kg) dan caffeine 125 kg selain turut merampas tiga jenis kenderaan bernilai RM86,000.

Kedua-dua rampasan dadah berjumlah RM4.2 juta itu sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran Lembah Klang, katanya

Menurut Hussein kesemua suspek berusia 23 hingga 60 tahun terdiri daripada buruh binaan, pekerja ladang sawit, pekerja bengkel dan bekerja sendiri manakala bakinya merupakan penganggur.

"Semakan rekod lampau mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dengan dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya dan menambah kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA