Sentimen global yang lemah, dasar perdagangan proteksionis, serta ketidak tentuan ekonomi menambah tekanan kepada pasaran.
Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, pelabur perlu bijak mengurus risiko dan mencari peluang yang sesuai dalam situasi ini.
Berikut adalah lima strategi yang boleh membantu pelabur:
1. Fahami faktor-faktor penggerak pasaran
Pasaran saham global termasuk Malaysia, terjejas oleh beberapa faktor utama:
- Tekanan inflasi Amerika Syarikat (AS): Data inflasi Januari 2025 meningkat 0.5 peratus bulan ke bulan dan 3 peratus tahun ke tahun, menyebabkan pasaran global melemah.
- Keteganagan perdagangan: Peningkatan tarif oleh AS terhadap import dari Kanada, Mexico, dan China mengancam kestabilan rantaian bekalan global.
- Kemerosotan keyakinan pengguna: Data keyakinan pengguna AS menunjukkan kejatuhan terbesar sejak Ogos 2021, membayangkan kelemahan ekonomi yang lebih luas.
2. Kekal tenang dan elakkan 'panic selling'
Pelabur runcit sering bertindak balas secara emosi dalam situasi ketidaktentuan.
Sedek berkata, kejatuhan mendadak dalam satu atau dua hari tidak semestinya mencerminkan kelemahan jangka panjang.
Pelabur perlu memastikan:
- Mengelak penjualan panik yang boleh menyebabkan kerugian yang tidak diingini.
- Fokus kepada syarikat dengan asas fundamental kukuh seperti pertumbuhan pendapatan stabil dan prospek jangka panjang yang baik.
- Mengenal pasti saham yang mempunyai potensi pemulihan selepas kejatuhan pasaran.
3. Manfaatkan strategi Dollar-Cost Averaging (DCA)
"Strategi DCA membolehkan pelabur mengurangkan kesan volatiliti pasaran dengan membeli saham secara berkala tanpa mengira harga", kata sedek.
Beliau berkata, ini membantu mendapatkan harga purata yang lebih stabil dalam jangka panjang dan mengelakkan ketidaktentuan harga panjang pendek.
4. Pantau petunjuk ekonomi utama
Pelabur perlu sentiasa mengikuti data ekonomi yang boleh mempengaruhi pasaran:
- Malaysia: S&P Global Malaysia Manufacturing PMI bagi Februari 2025 akan memberi gambaran mengenai kesihatan sektor pembuatan.
- China: Mesyuarat Dua Sesi China dan laporan ekonomi utama akan memberi petunjuk tentang hala tuju ekonomi negara tersebut.
- Amerika Syarikat: Laporan Non-Farm Payroll (NFP) akan menjadi faktor penentu kepada dasar kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), yang boleh memberi kesan kepada pasaran global.
5. Kekal fleksibel dan diversifikasi pelaburan
Dalam keadan pasaran tidak menentu, penting untuk menyesuaikan strategi pelaburan dengan keadaan semasa:
- Diversifikasi portfolio dengan pelbagai sektor dan aset bagi mengurangkan risiko.
- Memberi tumpuan kepada saham defensif seperti sektor kesihatan, utiliti, dan barangan pengguna yang lebih stabil dalam tempoh ketidaktentuan.
- Menggunakan instrumen lindung nilai seperti emas dan bon untuk mengimbangi risiko pasaran saham.
"Dengan memahami faktor pasaran, mengelakkan penjualan panik, mengamalkan DCA, mengikuti petunjuk ekonomi, dan menyesuaikan portfolio, pelabur dapat mengurus risiko dengan lebih efektif serta memanfaatkan peluang yang ada," tambah Sedek.
Ketidaktentuan pasaran sememangnya mencabar, tetapi ia juga membuka peluang kepada pelabur untuk mempunyai strategi yang lebih baik.
