KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan Wall Street pada Jumaat lepas berikutan pelabur tidak mengambil kira kebimbangan mengenai ketegangan yang meningkat antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta petunjuk ekonomi AS yang lembap.

Pada 9.24 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.0 mata kepada 1,578.70 daripada 1,574.70 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.43 mata kepada 1,572.27.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 270 berbanding 263, dengan 339 kaunter tidak berubah, 1,445 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 474.97 juta saham bernilai RM313.85 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi positif pada Jumaat lepas turut disokong oleh petunjuk mengenai kelembapan ekonomi AS.

"Sehubungan itu, sentimen pasaran kekal lemah apabila hasil 10 tahun AS merosot kepada 4.203 peratus.

"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng susut hampir 780 mata kepada hanya di bawah paras 23,000 berikutan kebimbangan mengenai tarif oleh Presiden AS Donald Trump dan kelembapan ekonomi AS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kejutan harian daripada Trump terus menentukan hala tuju pasaran, tidak mengambil kira asas buat sementara waktu.

"Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,570 hingga 1,580 hari ini walaupun keputusan pendapatan suku keempat baru-baru ini dilihat baik," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.56, CIMB naik 19 sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional menambah 20 sen kepada RM13.80 manakala IHH Healthcare berkurangan 13 sen kepada RM7.32 dan Maybank mendatar pada RM10.72.

Bagi saham aktif, Genting Malaysia meningkat lima sen kepada RM1.95, MY E.G. naik 1.5 sen kepada 89 sen manakala Pantech Global Bhd, yang mula disenaraikan di Pasaran Utama hari ini, merosot 16.5 sen kepada 51.5 sen.

Cape EMS berkurangan 1.5 sen kepada 25.5 sen dan Ingenieur Gudang susut setengah sen kepada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 44.20 mata kepada 11,780.52, Indeks FBMT 100 naik 44.17 mata kepada 11,540.74 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.36 mata kepada 11,432.15.

Indeks FBM 70 melonjak 123.65 mata kepada 16,760.28 manakala Indeks FBM ACE susut 16.63 mata kepada 4,740.36.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.05 mata kepada 158.30.

Indeks Tenaga meningkat 4.83 mata kepada 758.97 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 104.55 mata kepada 19,431.50, bagaimanapun Indeks Perladangan merosot 49.35 mata kepada 7,560.35.

-- BERNAMA