Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 16.22 mata atau 1.02 peratus kepada 1,568.03 daripada 1,584.25 semasa ditutup pada Isnin.
Sentimen pasaran dibuka rendah 1.52 mata kepada 1,582.73 dan bergerak antara 1,564.32 dan 1,583.74 sepanjang hari dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 905 berbanding 217 manakala 390 kaunter tidak berubah, 838 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.14 bilion unit bernilai RM2.64 bilion daripada 2.69 bilion unit bernilai RM2.31 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penyusutan tertumpu terutamanya kepada pembuat cip dan saham teknologi, dengan sentimen pelabur berubah negatif menjelang pengumuman laporan pendapatan Nvidia.
Selain itu, usaha pasukan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk melaksanakan kawalan yang lebih tegas ke atas industri cip China boleh menjejaskan saham teknologi China dan menambahkan ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
"Syarikat-syarikat terkemuka telah memberi amaran bahawa ketidaktentuan dasar perdagangan AS semakin bertambah di tengah-tengah kebimbangan tarif yang lebih tinggi dan tekanan inflasi," katanya kepada Bernama.
Bagi bursa tempatan, Thong berkata penganalisis mengekalkan pandangan berhati-hati mereka terhadap pasaran memandangkan turun naik dan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam persekitaran makro.
"FBM KLCI sedang berdepan fasa konsolidasi, dengan sentimen yang kekal berwaspada. Pergerakan yang berterusan melepasi paras 1,590-1,600 akan mengukuhkan lagi perubahan arah aliran manakala 1,560 berfungsi sebagai paras sokongan penting.
"Kami menasihatkan pelabur untuk memanfaatkan peluang dalam saham bermodal besar dengan hasil dividen yang kukuh, terutamanya dalam sektor seperti perbankan, perladangan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) untuk mengekalkan pendirian defensif," katanya sambil memaklumkan indeks petunjuk pasaran itu dijangka bergerak dalam julat 1,560-1,580 pada sepanjang minggu.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI merekodkan penurunan tertinggi dalam sehari pada bulan ini memandangkan pelabur terus menilai semula risiko penurunan berikutan ketidakpastian dasar perdagangan yang berterusan dan keadaan makroekonomi global yang semakin buruk.
"Dari sudut teknikal, FBM KLCI terus mudah terjejas, dengan risiko penurunan jangka pendek yang berterusan. Paras sokongan segera dikenal pasti pada 1,555 manakala paras struktur utama pada 6 Ogos 2024 adalah rendah iaitu 1,529 dan ambang psikologi 1,500 berfungsi sebagai titik perubahan kritikal.
Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia Maybank susut dua sen kepada RM10.46, CIMB rendah 15 sen kepada RM8.23, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.46,Tenaga Nasional menyusut 24 sen kepada RM13.40 dan IHH Healthcare menokok enam sen kepada RM7.31.
Bagi saham aktif, TWL Holdings naik setengah sen kepada 2.5 sen, Ingenieur Gudang susut setengah sen kepada 4.5 sen, My E.G. Services rendah 3.5 sen kepada 97.5 sen dan SFP Tech susut lima sen kepada 34.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 160.72 mata kepada 11,756.29, Indeks FBMT 100 merosot 153.40 mata kepada 11,504.01, Indeks FBM Emas Shariah susut 172.13 mata kepada 11,434.88, Indeks FBM 70 merosot 361.80 mata kepada 16,871.62, dan Indeks FBM ACE berkurangan 97.09 mata kepada 4,808.60.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 160.97 mata kepada 19,145.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri merosot 2.65 mata kepada 158.70, Indeks Tenaga susut 14.47 mata kepada 754.40, dan Indeks Perladangan berkurangan 87.70 mata kepada 7,482.60.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.40 bilion berbanding 1.37 bilion unit bernilai RM2.05 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 941.25 juta unit bernilai RM98.24 juta berbanding 893.75 juta unit bernilai RM114.94 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 454.78 juta unit bernilai RM145.01 juta berbanding 427.80 juta unit bernilai RM152.76 juta semalam.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 243.58 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (400.98 juta), pembinaan (110.30 juta), teknologi (231.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (79.23 juta), hartanah (272.14 juta), perladangan (29.63 juta), REIT (18.51 juta), dana tertutup (114,900), tenaga (153.58 juta), kesihatan (96.32 juta), telekomunikasi dan media (33.88 juta), pengangkutan dan logistik (22.74 juta), utiliti (50.56 juta) dan amanah perniagaan (39,600).
-- BERNAMA
