KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd melonjak kepada RM7.73 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM6.98 bilion yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2023


Ringkasan AI
  • Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd melonjak kepada RM7.73 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM6.98 bilion pada tahun kewangan 2023, dengan perolehan meningkat kepada RM22.3 bilion daripada RM21.01 bilion.
  • Perniagaan CIMB Group di Malaysia dan Singapura menunjukkan prestasi cemerlang, manakala prestasi di Thailand terus stabil dan perniagaan di Indonesia kekal berdaya tahan walaupun wujud persaingan sengit.
  • CIMB Group mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 20 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan yang dicadangkan kepada 47 sen sesaham, dengan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM5.04 bilion.


Perolehan untuk tahun di bawah kajian turut meningkat kepada RM22.3 bilion daripada RM21.01 bilion sebelum ini.

"Prestasi tahun kewangan 2024 yang mantap ini juga disokong oleh disiplin kos yang terkawal dan peningkatan kualiti aset, yang dipacu oleh strategi kepelbagaian portfolio kumpulan, yang berkhidmat dalam pelbagai segmen pelanggan.

"Perniagaan CIMB Group di Malaysia dan Singapura menunjukkan prestasi cemerlang, selaras dengan pertumbuhan yang dilihat dalam kedua -dua ekonomi, manakala prestasi di Thailand terus stabil," kata kumpulan perbankan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada masa yang sama, perniagaannya di Indonesia kekal berdaya tahan walaupun wujud persaingan sengit di pasaran tempatan.

Menjelang suku keempat berakhir 31 Disember 2024, keuntungan bersih CIMB Group naik kepada RM1.8 bilion berbanding RM1.72 bilion yang dicatatkan pada suku keempat 2023, manakala pendapatan adalah lebih rendah pada RM5.33 bilion daripada RM5.38 bilion sebelum ini.



Kumpulan tersebut turut mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 20 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan yang dicadangkan kepada 47 sen sesaham.

Ini membawa kepada jumlah pembayaran dividen sebanyak RM5.04 bilion.

Pada asas mata wang yang berterusan, jumlah pinjaman kasar CIMB Group menokok secara sihat sebanyak 4.8 peratus dari tahun ke tahun.

Selaras dengan strategi yang diterajui oleh depositnya, jumlah deposit bertambah 5.2 peratus dari tahun ke tahun, manakala jumlah akaun simpanan akaun semasa (CASA) yang diperluaskan adalah sebanyak 7.7 peratus dari tahun ke tahun, memacu nisbah CASA kepada 43.1 peratus pada Disember 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Novan Amirudin ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan kumpulan itu berhati-hati dalam unjurannya serta tetap berwaspada ketika menavigasi ketidakpastian luaran dan geopolitik semasa.

"Walaupun cabaran masih berterusan, kami menjangkakan daya tahan di seluruh pasaran ASEAN yang mana kami beroperasi selain menjangkakan prestasi kewangan teras bank akan kekal dengan trajektori positif, selaras dengan keutamaan keuntungan tanpa menjejaskan pelaburan dan daya tahan," katanya.

-- BERNAMA