GENEVA: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk pada Selasa menyatakan serangan udara Israel di Gaza "akan menambah tragedi demi tragedi" dan menyeru pengakhiran segera "mimpi buruk" di kawasan terkepung itu, lapor Anadolu Ajansi.

"Saya merasa ngeri dengan serangan udara dan tembakan meriam Israel malam tadi di Gaza, yang mengorbankan ratusan nyawa menurut Kementerian Kesihatan di sana. Ini akan menambah tragedi demi tragedi," kata Turk dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa 18 bulan terakhir keganasan telah menunjukkan dengan jelas bahawa "tiada jalan penyelesaian ketenteraan untuk krisis ini," sambil menekankan bahawa satu-satunya jalan keluar ialah penyelesaian politik selaras dengan undang-undang antarabangsa.

"Tindakan Israel menggunakan lagi kekuatan tentera hanya akan menambahkan penderitaan rakyat Palestin yang sudah berada dalam keadaan malapetaka," katanya.

"Mimpi buruk ini mesti dihentikan serta-merta. Tebusan mesti dibebaskan segera dan tanpa syarat. Semua yang ditahan secara sewenang-wenangnya, perlu dilepaskan segera dan tanpa syarat," desak beliau, sambil menambah, "Perang ini mesti ditamatkan buat selamanya."

Turk turut menyeru semua pihak berpengaruh melakukan segala usaha untuk mencapai keamanan dan mengelakkan penderitaan rakyat awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Selasa meluahkan kejutan terhadap serangan udara Israel baru-baru ini ke atas Gaza yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Dalam satu kenyataan, timbalan jurucakap Farhan Haq menyatakan ketua PBB itu menggesa "gencatan senjata segera, pemulihan bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan pembebasan tebusan yang masih ditahan."

Pihak berkuasa tempatan Gaza pada pagi Selasa melaporkan lebih 320 rakyat Palestin terbunuh dan hilang dalam tempoh lima jam di seluruh Semenanjung Gaza apabila Israel menyambung semula perang genosidnya.

Sejak 7 Okt 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 48,572 nyawa (majoriti kanak-kanak dan wanita) dan mencederakan 112,032 yang lain, dengan ramai mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan.

Israel sebelum ini bersetuju dengan gencatan senjata bersama Hamas sejak 19 Jan. Kedua-dua pihak sedang berbincang melanjutkan gencatan senjata ke fasa kedua sebelum Tel Aviv tiba-tiba melancarkan serangan besar-besaran semasa bulan suci Ramadan.

-- BERNAMA