Setiausaha Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu Nurul Hamizah Deraman berkata penganjuran bazar yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini melibatkan 80 usahawan dari Terengganu, Sabah, Sarawak, Pahang, Negeri Sembilan dan Perlis.
Beliau yang juga pengusaha batik dan sutera berkata penganjuran bazar itu melibatkan usahawan berdaftar dengan Kraf Tangan Malaysia, sekali gus dapat memastikan pengunjung membeli hasil kraf buatan tempatan yang tulen.
"Dengan penganjuran ini, kita sendiri ingin memasarkan produk kita di Kuala Lumpur... (berdasarkan) penganjuran acara (lain) sebelum ini, jualan batik boleh mencecah RM40,000 hingga RM80,000. Kami berharap penganjuran kali ini juga akan mencapai jumlah itu.
"Kita tidak meletakkan sasaran tapi kita cuba sehabis baik... Kita tak tahu sebab (penganjuran Hari Kraf Kebangsaan 2025 ditunda), cuma kami sebagai usahawan berusaha mencari alternatif bagi memasarkan produk kami di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata penganjuran bazar itu juga antara lain dapat membantu mempromosikan hasil kraf tempatan kepada dunia, sempena kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional Malaysia (CITRA) Luqman Al-Hakim Ariffin Billah yang juga pengusaha Terengganu Songket berkata penganjuran Bazar Kraf Aidilfitri ini diharap dapat memberikan kesedaran dan menarik minat orang ramai kepada warisan tekstil tempatan.
Beliau berkata penganjuran bazar ini dapat mendidik masyarakat mengenai nilai kehalusan songket tenunan asli seterusnya menghargai karya seni buatan tangan tempatan memandangkan produk yang dipasarkan dijamin asli.
"Kami berharap lebih ramai pengunjung datang untuk menyokong dan membantu dengan membeli kraf tangan peniaga dan pengunjung yang membeli juga berasa bangga dapat memakai pakaian yang dibuat tangan-tangan orang tempatan.
"Kami berharap songket tenunan asli lebih mendapat tumpuan sebab kita bersaing dengan pasaran luar seperti songket mesin... dalam era moden, memang penggunaan mesin untuk hasilkan songket menggantikan tenaga kerja manusia tapi kita sebagai peniaga tidak merungut," katanya.
Beliau berkata penjual songket juga perlu bersifat jujur kepada pelanggan dan beretika dengan menyatakan sekiranya mereka menjual produk songket buatan mesin dan bukan songket tenunan asli, dengan menawarkan harga berpatutan.
-- BERNAMA
