SHAH ALAM: Tindakan pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman demi kepentingan sendiri mendapat kecaman wakil rakyat di Selangor.


Ringkasan AI
  • Kecaman Eksploitasi: ADUN Sentosa, Dr. Gunaraj George, mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman demi kepentingan sendiri, yang boleh membangkitkan ketegangan dalam masyarakat.
  • Sokongan Terhadap PM: Beliau menyokong seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar tiada pihak mengambil kesempatan terhadap isu sensitif ini dan menegaskan pentingnya penyelesaian yang adil dan harmoni.
  • Seruan Kerjasama: Dr. Gunaraj menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap individu yang cuba menimbulkan perpecahan, serta mengingatkan media untuk melaporkan isu dengan bertanggungjawab demi mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George, di saat kerajaan sedang berusaha mencari penyelesaian adil dan saksama, tindakan tidak bertanggungjawab ini hanya akan membangkitkan ketegangan dalam masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyokong sepenuhnya seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar tiada pihak mengambil kesempatan terhadap isu sensitif ini.

“Pendekatan tegas Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa isu ini akan ditangani dengan adil dan harmoni. Sebarang usaha untuk menimbulkan ketegangan kaum atau agama hanya akan merosakkan perpaduan yang menjadi tunjang negara kita,” tegasnya dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau membuat kenyataan menghina mana-mana agama atau kaum.

Ujarnya, tingkah laku seperti ini tidak boleh diterima dan perlu ditangani dengan berkesan demi mengekalkan keamanan serta keharmonian negara.

Selain itu, beliau mengingatkan pihak media agar memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dengan mengelakkan laporan bersifat sensasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.

“Kita memerlukan lebih banyak liputan yang memupuk kasih sayang, toleransi, dan saling menghormati. Ini akan membantu mengukuhkan perpaduan serta memastikan isu sensitif dapat diselesaikan secara positif dan aman,” ujarnya lagi.

Gunaraj turut menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam menegakkan nilai-nilai keharmonian, penghormatan, dan perpaduan yang dikongsi bersama.

“Kita telah mencapai banyak kemajuan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, dan kita mesti terus bergerak maju bersama-sama sebagai satu bangsa," tambahnya.

Beliau berharap semua pihak dapat mengekalkan sikap saling menghormati dan tidak membiarkan unsur-unsur perpecahan meracuni masyarakat dengan retorik kebencian. - Sinar Harian