PERJALANAN, perjuangan dan sumbangan besar dua kumpulan muzik popular tanah air, Slam dan Exists dalam gelanggang industri hiburan tidak perlu disangkal lagi.

Ketika sebilangan besar kumpulan muzik berhadapan ‘krisis’ peribadi atau mungkin terhimpit dengan isu kepercayaan, Slam dan Exists membuktikan sebaliknya.

Atas dasar persahabatan atau semangat brotherhood yang kental, Slam dan Exists tidak pernah tergelincir dari landasan perjuangan yang sama – berkarya dan menghiburkan khalayak seni.

Justeru, tidak hairanlah selepas lebih dua dekad dalam dunia hiburan bagi Slam dan lebih tiga dasawarsa bagi Exists pula sebagai pejuang seni, kedua-duanya masih kekal relevan di kaca mata peminat.

Bahkan, segudang karya seni hebat yang ada pada mereka juga menjadi pelengkap untuk memahat kedudukan sekalipun usia setiap seorang daripada mereka sudah melepas usia 50 tahun (kecuali Ezad yang berusia 45 tahun)!

Slam dibarisi oleh nama-nama besar iaitu Zamani, Shah, Lili, Eddie dan Man.

Sementara Exists pula, selain Ezad selaku vokals pula ditunjangi oleh Ajai, Ujang, Musa dan Along serta penyanyi asal band berkenaan, Mamat yang sesekali membuat kemunculan ‘cameo.’

Memahami kejayaan perjalanan karier mereka selama ini kukuh kerana sokongan peminat, Slam dan Exists buat kali pertama bersetuju bergabung menganjurkan sebuah pementasan mega.

Kedua-dua band itu disatukan dalam pementasan ‘Slam X Exists - Our Journey’ anjuran bersama Karya Venture dan Republic Mokhmah Records pada 26 Julai depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Slam X Exists - Our Journey kepada mereka bukan sebuah konsert yang klise, sebaliknya, ia merupakan rakaman perjalanan panjang dua kumpulan dalam mengharungi sepak terajang industri muzik.



Sebetulnya, Slam dan Exists mempunyai ‘pertalian’ sejak awal penubuhan - Slam dibentuk oleh salah seorang anggota Exists iaitu Shah yang akhirnya menuai sukses bersama anggota yang lain termasuk Lili, Man, Zamani dan Eddie dalam band Slam.

Sementara Exists lebih tiga dekad berkarya dengan beberapa anggota bersilih ganti termasuk vokalis daripada Mamat, Ezad dan kini Ezad sebagai tulang belakang kumpulan yang berasal daripada Johor Bahru ini iaitu Ajai, Ujang, Along dan Musa.

“Judul Slam X Exists adalah sangat signifikan dengan penganjuran daripada Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.

“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu.

“Maka setelah perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama Slam dan Exists kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas, akhirnya kami mencapai kata putus bahawa ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi Slam X Exists - Our Journey,” ujar Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture.

Tentu sahaja apabila memilih tema Slam X Exists - Our Journey, selain konsep, hal yang dititik beratkan adalah seleksi lagu yang akan dipersembahkan.

Selain akan menyampaikan hit-hit mereka seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) atau Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists), kedua-dua kumpulan ini akan menghiburkan peminat dengan pemilihan karya penuh nostalgia yang tidak akan mengecewakan.

Dan bayangkan juga bagaimana jika pemilik suara merdu dan gemersik Ezad serta Zamani berpadu di pentas dengan diiringi barisan pemuzik hebat tanah air, pasti mengujakan!

“Besar harapan kami ‘Slam X Exists-Our Journey’akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.

“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” ujar Shah Nizam lagi.

Untuk menikmati dan menghayati perjalanan ‘Slam X Exists-Our Journey’di Mega Star Arena pada 26 Julai 2025, dapatkan tiket anda segera.

Harga tiket bermula RM168 (PS 4 LANGKAH SEIRINGAN), RM268 (PS33 RINDIANI), RM368 (PS2 JULIA), RM388 (PS1 JESNITA), RM448 (VIP MARIA MARIANA), RM3000 (GRAND VIP KEMBALI TERJALIN) boleh diperoleh menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists.