Ringkasan AI
- Jefri Ngadirin dilantik sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baharu, menggantikan Abdul Rashid Yaakub mulai 4 April.
- Jefri berazam untuk memajukan sukan negara dengan menggunakan pengalaman luasnya dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
- Jefri memulakan kerjaya di MSN pada 1993 dan telah memegang pelbagai jawatan penting sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) pada Januari 2024.
Jefri, 52, menyifatkan ia satu tanggungjawab besar dan bukan tugas yang mudah, justeru beliau berazam untuk berusaha sebaik mungkin dalam memenuhi segala perancangan direncanakan bersama MSN.
"Saya bermula sejak zaman Datuk Wira Mazlan Ahmad dan diberi tanggungjawab memimpin Unit Sukan Teras sehingga zaman Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan akhir sekali Abdul Rashid Yaakub yang banyak beri panduan serta nasihat cara untuk menguruskan sukan negara kita.
"Saya rasa dengan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada serta kerjasama semua pihak berkepentingan utama, seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), Majlis Sukan Negeri, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kita dapat bersama-sama memulakan langkah baharu bangunkan sukan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MSN di Bukit Jalil semalam.
Khamis lepas, MSN mengumumkan pelantikan Jefri sebagai Ketua Pengarah ke-10 badan induk sukan negara itu bagi menggantikan Abdul Rashid Yaakub yang akan tamat kontrak pada 3 April.
Perkara itu diumumkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Jefri memulakan kerjaya di MSN sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan pada 1993 sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan di University of Miami, Florida, Amerika Syarikat dan kembali meneruskan khidmat di MSN pada 1999.
Antara tanggungjawab dipikulnya dalam MSN sebelum ini ialah Ketua Unit Sukan Teras, Pengarah Cawangan Pelapis dan Pengarah Bahagian Atlet sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) pada 8 Jan 2024.
-- BERNAMA
