Pada jam 9.05 pag, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 15.60 mata kepada 1,512.21 daripada 1,527.81 pada penutupan Isnin.
Indeks utama itu dibuka rendah 14.52 mata kepada 1,513.29.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 241 berbanding 109 dengan 272 kaunter tidak berubah, 1,814 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 133.02 juta saham bernilai RM129.23 juta.
Operasi Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Selasa, 19 Mac, 2025 sempena cuti umum Nuzul al-Quran di Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri di Malaysia.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pengumpulan saham tempatan adalah lemah seperti yang ditunjukkan oleh kegagalan untuk menembusi paras rintangan 1,530 ketika ini.
"Kami menjangkakan indeks mungkin akan meningkat susulan prestasi serantau yang memberangsangkan semalam sekali gus mengunjurkan indeks itu berlegar dalam julat 1,525-1,535 hari ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare jatuh dua sen masing-masing kepada RM10.40 dan RM7.07, Public Bank susut enam sen kepada RM4.48, CIMB turun 24 sen kepada RM7.01 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.56.
Bagi saham aktif, Sapura Energy dan Elridge Energy tidak berubah masing-masing pada 4.5 sen dan 47 sen, Nationgate menguncup empat sen kepada RM1.31, SNS Network susut satu sen kepada 43 sen bagaimanapun Top Glove naik tiga sen kepada 89.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 94.73 mata kepada 11,329.75, Indeks FBMT 100 merosot 99.08 mata kepada 11,088.72, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 68.61 mata kepada 11,015.39, Indeks FBM 70 turun 84.08 mata kepada 16,239.67 bagaimanapun Indeks FBM ACE meningkat 15.64 mata kepada 4,706.79.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.99 mata kepada 154.07, Indeks Tenaga susut 2.83 mata kepada 732.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 205.62 mata kepada 18,590.52 manakala Indeks Perladangan merosot 18.68 mata kepada 7,397.57.
-- BERNAMA
