Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut diambil selepas kerajaan negeri menerima banyak aduan daripada pengguna yang mengalami kesukaran untuk mencari tempat berehat, menukar lampin bayi dan menggunakan tandas sepanjang perjalanan ke Kelantan serta sempadan negeri ini.
"Ada empat kawasan R&R sementara yang dibina di sepanjang 300 kilometer. Dua di Bentong melibatkan laluan pergi dan balik dan masing-masing satu di Lipis dan Raub yang mana kesemuanya dijangka siap dalam lima atau empat hari sebelum Hari Raya.
"Kita tidak mahu menunggu terlalu lama kerana masalah ini perlu diselesaikan segera. Jadi kita dahulukan peruntukan kerajaan negeri. Kemudian, peruntukan ini akan diganti semula oleh kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas pengumuman dividen Ladang Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada hari Rabu.
Menjawab mengenai R&R kekal, Wan Rosdy menjelaskan pembinaan hentian tersebut dalam perancangan kerajaan Persekutuan, namun belum ada kepastian mengenai tempoh pelaksanaannya.
"Kita tetap akan membina R&R kekal tetapi buat masa ini pembinaan sementara ini adalah penyelesaian jangka pendek agar pengguna dapat menikmati sedikit keselesaan berbanding tiada langsung," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan dan menjaga kebersihan kawasan R&R.
"Semua pengguna berhati-hati ketika memandu, periksa kenderaan sebelum perjalanan dan gunakan R&R ini untuk berehat jika mengantuk.
"Ingatlah keluarga yang menanti kepulangan anda. Selain itu, jagalah kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata," katanya.
Di samping itu, Wan Rosdy berharap agar jumlah kemalangan dapat dikurangkan, terutamanya yang melibatkan kehilangan nyawa.
"Kalau semua pihak memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil kita dapat mengurangkan atau bahkan menghapuskan jumlah kemalangan maut di musim perayaan ini," tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dijangka berlangsung pada minggu ketiga April. - Sinar Harian
