GUA MUSANG: Status pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Gua Musang-Kuala Krai mengikut ketetapan jadual seperti dirancang, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata pembinaan LTU berjalan lancar dan kementerian akan menyegerakan projek itu agar dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya namun isu pampasan kepada penduduk dan lot kedai yang terjejas ekoran pembinaan tidak pernah diketepikan.

"Saya ingin menjelaskan berhubung isu pemberian pampasan kepada penduduk kampung dan lot kedai yang terjejas telah dibawa ke mesyuarat kementerian.

"... untuk memberikan pampasan ia memerlukan dua kelulusan kementerian iaitu kementerian saya dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak produk inovasi turapan jalan di laluan FT185, Seksyen 58.5-58.9, Jalan Lojing di sini hari ini.

Ahmad berkata terdapat dua jenis pampasan iaitu bergeran dan tidak bergeran yang memerlukan ex gratia (pampasan) melibatkan 177 lot rumah kedai serta rumah.

Beliau berkata pihaknya masih dalam memproses pembayaran ihsan kepada penduduk memandangkan ia melibatkan bangunan yang dibuat atas tanah tidak memiliki geran.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bakal membuat pembayaran ex gratia kepada pemilik 177 buah rumah kedai dan rumah setinggan yang terkesan dengan Projek LTU Gua Musang-Kuala Krai atas dasar kemanusian.

Sementara itu, Ahmad berkata KKR menggunakan produk inovasi terbaharu daripada Stone Mastic Asphalt (SMA) kepada SMA20 (Plastic Modified Binder) bagi mengatasi masalah jalan berlubang di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai dan Grik di Perak menuju ke Lojing di Gua Musang.

Berdasarkan laporan dan pemerhatian, produk SMA20 itu telah melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi baik di tapak sepanjang setahun pemantauan.

"Produk SMA20 terbukti lulus ujian di lapangan dan mampu mengatasi masalah jalan berlubang serta dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi serta teknologi baharu," katanya.

-- BERNAMA