Menurut kenyataan Rumah Putih, kedua-dua pemimpin membincangkan secara meluas mengenai hubungan dua hala, Iran, Timur Tengah, serta keperluan untuk menghentikan percambahan senjata strategik menerusi panggilan telefon.
Sebagai sebahagian daripada rancangan gencatan senjata terhad, AS dan Rusia akan "segera" memulakan rundingan teknikal mengenai gencatan senjata maritim di Laut Hitam serta usaha mencapai gencatan senjata penuh dan keamanan yang berkekalan di Ukraine.
"Rundingan ini akan dimulakan segera di Timur Tengah," kata kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa konflik tiga tahun di Ukraine perlu diselesaikan.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana Ukraine akan bertindak balas terhadap cadangan itu.
Kyiv sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menerima gencatan senjata selama 30 hari yang dicadangkan Trump, tetapi Rumah Putih tidak menyebut sama ada Putin bersetuju dengan tempoh itu.
Rumah Putih juga tidak mengesahkan sama ada Putin menuntut penggantungan bantuan ketenteraan asing kepada Ukraine semasa gencatan senjata, atau membincangkan isu konsesi wilayah dan masa depan loji nuklear Zaporizhzhia, kemudahan nuklear terbesar di Eropah.
"Perbualan telefon saya hari ini dengan Presiden Putin adalah sangat baik dan produktif," tulis Trump di media sosial sejurus selepas panggilan telefon yang berlangsung sekurang-kurangnya satu jam setengah itu.
"Kami bersetuju untuk segera melaksanakan gencatan senjata terhadap semua kemudahan tenaga dan infrastruktur, dengan pemahaman bahawa kami akan berusaha dengan pantas untuk mencapai gencatan senjata penuh," katanya.
Sementara itu, Kremlin memaklumkan bahawa Putin "segera memberikan arahan sewajarnya kepada tentera Rusia" sebagai tindak balas kepada cadangan Trump agar Rusia dan Ukraine menghentikan serangan ke atas infrastruktur tenaga masing-masing.
Semasa perbualan telefon itu, Trump dan Putin juga menekankan keperluan untuk meningkatkan hubungan AS-Rusia, menurut kenyataan Rumah Putih.
"Masa depan dengan hubungan dua hala yang lebih baik antara Amerika Syarikat dan Rusia mempunyai potensi besar. Ini termasuk perjanjian ekonomi yang besar serta kestabilan geopolitik apabila keamanan dicapai," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
