KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh aliran menurun dalam pasaran niaga hadapan getah serantau.

Seorang peniaga berkata penurunan itu didorong oleh kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemungkinan kemelesetan global akan belaku berikutan data ekonomi bercampur-campur dan ketegangan perdagangan semakin meningkat susulan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot hari ini disebabkan pengukuhan yen manakala perang perdagangan yang semakin memuncak menjejaskan prospek pasaran global.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump telah mengesahkan bahawa negara itu akan melaksanakan tarif timbal balik dan sektor mulai 2 April, menyasarkan rakan dagangan termasuk China dan India.

"Harga minyak naik pada Isnin selepas AS berikrar untuk terus menyerang kumpulan Houthi di Yaman sehingga kumpulan disokong Iran itu menamatkan serangannya terhadap kapal dagang," katanya.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 menyusut 13 sen kepada 871.5 sen sekilogram pada 3 petang manakala lateks pukal rendah 4.5 sen kepada 693 sen sekilogram.

-- BERNAMA