Rundingan antara Putin dan Utusan AS, Steve Witkoff di Moscow pada Khamis malam disifatkan Trump sebagai "baik dan produktif."
Susulan pertemuan itu juga, Kremlin menyatakan mereka berkongsi "optimisme berhati-hati" AS terhadap proses perdamaian.
Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump berkata, rundingan itu memberi "peluang yang sangat baik untuk perang yang dahsyat dan berdarah berakhir."
Namun, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menuduh Putin cuba melengahkan perbincangan bagi meneruskan perang, manakala Perdana Menteri United Kingdom, Sir Keir Starmer menegaskan, Putin tidak boleh dibiarkan "bermain-main" dengan cadangan gencatan senjata.
Awal minggu ini, Ukraine telah menerima cadangan gencatan senjata oleh AS, tetapi Rusia masih belum bersetuju.
Pada Khamis pula, Putin berkata, idea gencatan senjata adalah "betul dan kami menyokongnya... tetapi terdapat beberapa nuansa" sambil mengemukakan beberapa syarat yang sukar untuk perdamaian - satu tindakan yang dianggap "manipulatif" oleh Zelensky.
Zelenskyy meneruskan kritikannya pada Jumaat dalam beberapa hantaran di X, menulis:
"Putin tidak boleh keluar daripada perang ini kerana itu akan membuatkan beliau kehilangan segalanya.
"Itulah sebabnya dia kini melakukan segala-galanya untuk mensabotaj diplomasi dengan meletakkan syarat yang sangat sukar dan tidak boleh diterima sejak awal sebelum gencatan senjata bermula."
Beliau turut menuduh Putin cuba "menyeret semua orang ke dalam perbincangan yang tidak berkesudahan... membazirkan hari, minggu dan bulan dengan rundingan yang tidak bermakna sementara tenteranya terus membunuh orang".
"Setiap syarat yang Putin kemukakan hanyalah usaha untuk menghalang sebarang bentuk diplomasi. Beginilah cara Rusia beroperasi. Dan kami telah memberi amaran mengenainya."
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Starmer berkata, keengganan Kremlin untuk menerima cadangan gencatan senjata Trump menunjukkan Putin "tidak serius mengenai perdamaian."
"Jika Rusia akhirnya bersedia ke meja rundingan, kita mesti bersedia untuk memantau gencatan senjata bagi memastikan ia adalah perdamaian yang serius dan berkekalan," katanya.
"Jika tidak, kita perlu meningkatkan tekanan ekonomi ke atas Rusia bagi menamatkan perang ini."
Hari ini, Keir akan mengadakan panggilan video dengan sehingga 25 pemimpin dunia untuk membincangkan misi pengaman yang dicadangkan dalam sidang kemuncak di London awal bulan ini.
"Gabungan sukarela" seperti yang beliau umumkan akan berusaha mencegah pencerobohan Rusia pada masa hadapan sekiranya gencatan senjata yang dicadangkan AS dilaksanakan.
Dalam hantaran pada Jumaat, Zelenskyy "dengan tegas" menggesa "semua pihak yang boleh mempengaruhi Rusia, terutamanya Amerika Syarikat, untuk mengambil tindakan tegas yang boleh membantu", kerana beliau percaya Putin tidak akan menghentikan perang ini dengan sendirinya.
"Putin berbohong mengenai situasi sebenar di medan perang... jumlah korban" serta "keadaan sebenar ekonominya," katanya sambil mendakwa Putin "sedang melakukan segala-galanya untuk memastikan diplomasi gagal.”
Namun, White House percaya kedua-dua pihak "tidak pernah sedekat ini dengan perdamaian."
Bercakap kepada wartawan, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt menegaskan, rundingan antara Putin dan Witkoff di Moscow pada Khamis adalah "produktif."
Beliau menambah, Trump telah "meletakkan tekanan ke atas Putin dan Rusia untuk melakukan perkara yang betul."
Dalam hantaran di media sosial, Trump juga "dengan tegas meminta" agar Putin menyelamatkan nyawa tentera Ukraine yang didakwanya telah dikepung oleh tentera Rusia, sambil menyifatkan sebarang tindakan membunuh mereka sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat" yang belum pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua.
Kenyataan Trump dibuat selepas Putin mendakwa pada Khamis bahawa tentera Ukraine di Kursk telah "terpencil" dan sedang cuba melarikan diri, ketika Rusia meningkatkan usaha untuk merampas kembali wilayah itu yang telah diserang Ukraine tahun lalu.
Namun, pada Jumaat, staf umum angkatan bersenjata Ukraine menafikan dakwaan pengepungan tenteranya dengan menyebutnya sebagai "palsu dan direka-reka".
Dalam satu kenyataan, mereka berkata, operasi masih diteruskan dengan tentera Ukraine telah berundur dan "berjaya menyusun semula" ke kedudukan pertahanan yang lebih baik.
"Tidak ada ancaman kepungan terhadap unit kami," kata kenyataan itu.
Sebagai tindak balas kepada permintaan Trump, Putin berkata, tentera Ukraine di Kursk akan dilayan dengan "maruah mengikut norma undang-undang antarabangsa dan undang-undang Persekutuan Rusia" jika mereka menyerah diri dan meletakkan senjata. - Agensi
