RAMALLAH: Palestin menegaskan semula penyelesaian politik mesti berasaskan penyelesaian dua negara, selaras dengan ketetapan antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab sebagai satu-satunya jalan yang realistik untuk mencapai keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh menyatakan pendirian ini sebagai respons kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) pada Jumaat, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Abu Rudeineh menegaskan, penyelesaian ini mesti membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Palestin turut menekankan keutamaan segera ialah mencapai gencatan senjata, memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang serta memikul tanggungjawab penuh di Semenanjung Gaza.

Selain itu, Palestin menuntut pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, pelaksanaan pelan pembinaan semula tanpa pemindahan paksa rakyat Palestin, serta gencatan senjata menyeluruh di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Palestin juga menggesa Israel menghentikan tindakan unilateral yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Langkah-langkah ini, menurut Palestin, adalah penting untuk meredakan ketegangan dan mewujudkan hala tuju politik yang berpandukan ketetapan antarabangsa.

Palestin turut menekankan keperluan untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat serta Arab, Eropah dan antarabangsa bagi merealisasikan matlamat itu.

Ia juga memberi peluang kepada usaha Jawatankuasa Arab dan Islam serta Gabungan Global dalam melaksanakan penyelesaian dua negara.

Selain itu, Palestin menekankan kepentingan mengadakan Persidangan Keamanan Antarabangsa di New York pada Jun depan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Bagaimanapun, Menteri Luar G7 tidak menyebut penyelesaian dua negara dalam kenyataan akhir mereka pada Jumaat, sebaliknya hanya menekankan keperluan untuk "hala tuju politik bagi rakyat Palestin."

Kenyataan itu juga mengulangi sokongan mereka terhadap kelancaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menyeru gencatan senjata berkekalan.

-- BERNAMA