kUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru semua yang mempunyai nilai kemanusiaan untuk menyertai Perhimpunan Hari Al-Quds Antarabangsa di depan Kedutaan Amerika Syarikat pada 28 Mac.

Hari Al-Quds merupakan perhimpunan tahunan oleh umat Islam, diadakan pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan sebagai tanda solidariti kepada kesengsaraan rakyat Palestin akibat penindasan rejim Zionis.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Perhimpunan Hari Al-Quds pada tahun ini adalah lebih serius kerana Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat dilihat berani membuat perancangan untuk terus menjarah tanah Palestin.

“Kita semua harus bersatu menolak cadangan ‘gila’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk memindahkan rakyat Gaza ke negara-negara Arab, kononnya hendak membangunkan semula bandar yang musnah akibat peperangan.

“Malah baru-baru ini Trump juga secara terbuka mengugut untuk membunuh barisan kepimpinan Hamas jika tidak mengikut telunjuknya, ia membuktikan Trump merupakan ‘anjing suruhan’ kepada rejim Zionis.

“Situasi di Palestin pada masa ini masih tegang, walaupun ketika bulan Ramadan, hanya 10,000 umat Islam dibenarkan beribadah di dalam Masjid Al-Aqsa, padahal kapasiti penuh adakah sekitar 50,000,” kata Azmi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.

Perhimpunan aman itu akan bermula di perkarangan Masjid Tabung Haji, peserta seterusnya berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyerahkan nota bantahan rasmi bagi menggesa nasib rakyat Palestin dibela.

Tambah Azmi, perbincangan akan dibuat bersama pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kelancaran dan keselamatan peserta yang berhimpun.

Perhimpunan Al-Quds tahun ini dijalankan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa (MANAR), Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (SEJAGAT).