MUAR: Seorang penunggang motosikal maut digilis selepas bergesel dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Bukit Pasir di sini pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan lori dan dilanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Bukit Pasir.
  • Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang, dan tiada kenderaan berhenti kerana hujan lebat.
  • Polis sedang mengesan pemandu lori yang terlibat untuk membantu siasatan.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 petang, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu turut dilanggar beberapa kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari bandar Muar ke rumahnya di Jorak, Bukit Pasir.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.

"Akibatnya, mangsa terjatuh sebelum digilis tayar lori tersebut dan pada masa sama, beberapa kenderaan lain yang melalui kawasan itu turut melanggarnya.

"Tiada kenderaan yang berhenti atau menyedari kejadian itu kerana hujan lebat," katanya.

Tambah beliau, akibat perlanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

"Polis turut berusaha mengesan pemandu lori yang terlibat bagi membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian