KLUANG: "Saya memang terkejut bila polis yang jawab panggilan telefon dan memaklumkan isteri saya meninggal dunia."

Itu reaksi seorang anggota tentera yang hanya mahu dikenali sebagai Al-Fatah ketika menceritakan bagaimana dia mendapat tahu mengenai insiden kemalangan yang meragut nyawa isteri tercinta, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, dalam nahas awal pagi semalam.

Menurut Al-Fatah, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan anak bongsunya yang berusia setahun menaiki kereta milik rakannya untuk ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), bagi mendapatkan rawatan kerana anaknya itu melecur terkena air panas.

Katanya, setelah berjumpa doktor, dia mahu membawa anaknya itu pulang, namun doktor menasihatkannya anaknya itu perlu dirawat dan ditahan di wad.

"Mulanya saya nak bawa anak pulang tetapi doktor menasihatkan anak saya perlukan rawatan dan ditahan di wad.

"Isteri saya kemudian meminta rakannya mengambilnya dengan motosikal untuk pulang ke rumah kami di Kuarters Kem Batu 4 bagi mengambil barang keperluan anak dan datang semula ke hospital.

"Bila dah ambil barang-barang keperluan anak, isteri saya naik motosikal seorang diri ke hospital dan bila saya hubungi dalam pukul 1.30 macam tu, memang terkejutlah bila polis yang jawab tambah pula maklumkan isteri saya kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Difahamkan, Nur Azreen mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat terjatuh daripada motosikal selepas digesel oleh sebuah motosikal lain di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi - Kluang.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Batu Kurau Perak untuk dikebumikan, sebaik urusan di hospital selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca dari sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak melarikan diri dari polis.

Katanya, ketika kejadian, pasukan peronda polis sebenarnya hanya melakukan rondaan biasa sebaik dimaklumkan oleh orang awam mengenai sekumpulan penunggang motosikal berkumpul beramai-ramai di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Impian, Kluang.

Bagaimanapun katanya, kumpulan motosikal terbabit bertindak melarikan diri daripada pasukan peronda polis bermula daripada Lampu Isyarat Bandar Sri Impian, di sini.

"Sebaik kereta peronda polis itu sampai ke Lampu Isyarat Bandar Sri Impian, semua penunggang motosikal berkenaan sudah berada di laluan bertentangan menghala ke Bandar Kluang.

"Polis tidak mengejar, namun mereka yang melarikan diri, malah polis hanya menyuraikan dengan menyuruh mereka balik sahaja" katanya. - Sinar Harian