KLUANG: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu, telah ditemui selamat di sebuah rumah di Kampung Dato Abdul Rahman Yassin, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, remaja berkenaan, Nurfakhira Dania Zahir, ditemui dalam keadaan baik di rumah nenek rakan lelakinya.

"Hasil siasatan awal mendapati sekitar jam 8 malam pada 12 Februari lalu, remaja tersebut keluar bersama rakan lelakinya dan menyatakan hasrat untuk lari dari rumah.

"Dia kemudiannya dibawa ke rumah nenek rakan lelakinya di kampung berkenaan dan tinggal di sana selama kira-kira seminggu," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Bahrin lagi, pemeriksaan awal mendapati remaja perempuan itu ditemui dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

Sebelum itu, media melaporkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sedang mengesan Nurfakhira Dania yang hilang dari rumahnya sejak 12 Februari lalu. - Sinar Harian