Setiausaha Agung Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana menegaskan bahawa ASEAN perlu bersatu dalam usaha menangani perubahan iklim, memandangkan bukti saintifik menunjukkan dunia kini hampir melampaui had pemanasan global 1.5 darjah Celsius.
"Sains membuktikan segalanya. Kita tidak boleh membiarkan suhu global melepasi ambang 1.5 darjah Celsius.
"Jika itu berlaku, kesannya amat dahsyat -- kejadian cuaca ekstrem lebih kerap, paras air laut meningkat, serta gangguan ekonomi dan sosial yang serius, terutama kepada komuniti rentan," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Beliau mengakui bahawa walaupun beberapa kuasa ekonomi utama telah menarik diri atau melemahkan komitmen mereka terhadap Perjanjian Paris, ASEAN harus kekal teguh dalam kepimpinan iklimnya.
"Ada negara yang berundur, tetapi itu tidak bermakna Perjanjian Paris sudah tidak relevan.
"Sebaliknya, dunia--terutamanya ASEAN--perlu melangkah ke hadapan dan memperkukuh usaha menangani perubahan iklim," katanya.
Perjanjian Paris, yang diterima pakai pada 12 Dis 2015, adalah perjanjian antarabangsa yang mengikat secara sah untuk mengehadkan pemanasan global kepada di bawah dua darjah Celsius, dengan sasaran ideal 1.5 darjah Celsius berbanding era pra-industri.
Perjanjian itu berkuat kuasa pada 4 Nov 2016.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian itu buat kali kedua, diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada 20 Jan 2025 atas alasan bahawa perjanjian terbabit menjejaskan ekonomi AS dan meletakkan negara itu dalam keadaan tidak menguntungkan.
Dalam pada itu, Alisjahbana turut menggesa kerjasama serantau yang lebih kukuh bagi memastikan pelaburan hijau dan kemajuan teknologi supaya adaptasi perubahan iklim dapat dipercepatkan.
"Negara-negara ASEAN, terutamanya ekonomi pesat membangun seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam, harus menerajui pelaburan hijau dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
"ASEAN sebagai satu blok mempunyai keupayaan untuk menarik pelabur serta membentuk mekanisme pembiayaan mampan," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa ESCAP kini bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN dalam memudah cara pembiayaan iklim dan memastikan negara membangun dapat memenuhi Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) di bawah Perjanjian Paris.
"Tanggungjawab ini bersifat kolektif dan ASEAN perlu memanfaatkan kekuatan serantaunya untuk menghantar mesej tegas kepada dunia bahawa rantau ini komited terhadap tindakan iklim," tegasnya.
Alisjahbana berada di Malaysia bagi lawatan kerja selama dua hari mulai 17 Feb 2025, bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, Datuk V Valluvan.
-- BERNAMA
