Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan satu kes itu dihadapi Muhammad Sanusi, 51 tahun.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.
Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari 2024, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 26 September tahun lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Pada 10 Disember 2024, Muhammad Sanusi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.
Ini bermakna pemimpin kerajaan Kedah tersebut masih berdepan satu kes menghasut berhubung Yang di-Pertuan Agong, ketika itu disandang oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Sinar Harian
