ALOR SETAR: Kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon turut terjejas akibat bencana banjir.

Pegawai Khas Menteri Besar, Helmi Khalid, berkata pekarangan kediaman itu mula dinaiki air dari Sungai Anak Bukit awal pagi semalam.

Menerusi kemas kini di TikTok, Helmi memaklumkan Sanusi sekeluarga sudah mula berpindah namun tidak dimaklumkan destinasinya.

“Air mula memasuki kuarters kediaman petugas yang terletak tidak jauh dari tepi sungai berkenaan, kemudian paras air terus meningkat hingga memasuki bahagian ruang tamu, dapur dan ruang makan… setakat ini paras air di bahagian dapur mencecah 0.5 meter," katanya semalam.

Menerusi kemas kini terbaharu itu, dapat dilihat air naik mencecah paras lutut.

Helmi juga memaklumkan ini bukan kali pertama Seri Mentaloon dinaiki air, sebaliknya ia pernah berlaku semasa kejadian banjir besar pada 2010.

Malah banjir pada September lepas turut menyebabkan limpahan air ke kediaman rasmi namun situasi kali ini disifatkan yang paling buruk.