SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilepaskan dan dibebaskan (DAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, berhubung satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Pas ini masih berdepan satu kes menghasut.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi yang dikemukakan Sanusi, 50, bagi membatalkan dua kes terbabit.

"Mahkamah memerintahkan Sanusi dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada satu pertuduhan," katanya.

Sebelum ini, Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas permohonan pertama dikemukakan ahli politik Pas itu ditolak oleh AGC pada Mei.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 26 September lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan ampun dan maaf, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu. - Sinar Harian