KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan mengingatkan semua pihak termasuk pemimpin supaya tidak memainkan sentimen perkauman dan agama dalam isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India.

“Tengok komen-komen bukan saja daripada masyarakat biasa. Pemimpin politik pun sama. Jangan tunggang isu agama, isu perkauman. Everything is being racially motivated (Semuanya bermotif politik)," katanya.

Jelas beliau, semua pihak perlu berhati-hati dalam menggunakan perkataan yang boleh menyinggung atau menyakitkan hati mana-mana pihak.

Susulan itu beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan merobohkan kuil tersebut, sebaliknya beberapa pilihan sedang dipertimbangkan.

"Saya nak bagi jaminan dekat sini. Kerajaan tidak akan merobohkan kuil

“Memang kami sudah ada beberapa pilihan, tetapi pilihan itu DBKL akan bincang dengan pihak kuil," katanya.

Terdahulu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, kuil itu boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.

Jelas beliau, DBKL memberi jaminan setiap langkah yang sedang dan bakal diambil selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.