KUALA LUMPUR: Pengurusan syarikat pembekal tekstil Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) menegaskan, tiada perobohan akan dilakukan terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, sebaliknya perbincangan selama lebih 10 tahun tertumpu kepada proses pemindahan secara harmoni.

Menurut Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel, Aiman Dazuki, sejak tanah tersebut diambil alih daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelbagai rundingan telah diadakan bersama pentadbiran kuil berkenaan bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan, cuma yang saya nak tegaskan tidak ada terma perobohan.

“Kita faham sensitiviti, kita pun mahu situasi menang-menang, kita ingin menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pihak,” kata beliau pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengenai majlis pecah tanah yang dijadualkan pada 27 Mac ini, Jakel menjelaskan, ia bukan bermaksud pembinaan akan dimulakan serta-merta, sebaliknya sekadar simbolik komitmen syarikat terhadap projek tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad berkata, isu ini masih dalam perbincangan dan DBKL telah mencadangkan beberapa lokasi untuk pemindahan kuil.

Bagaimanapun, jelas Syed Nasrul, kata sepakat berhubung pemindahan itu masih belum dicapai.

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif memberi jaminan bahawa kuil berkenaan tidak akan dirobohkan, sebaliknya hanya dipindahkan dengan persetujuan semua pihak.

Menurut beliau, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.