KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi pejabat Sapura Energy Bhd (SEB) di Menara PNB, di Jalan Tun Razak hari ini berhubung dua siasatan melibatkan syarikat tersebut, kata penyedia perkhidmatan gas dan minyak itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SEB berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada agensi terlibat dan akan menyediakan segala maklumat diperlukan bagi membantu siasatan SPRM.

"Sebagai entiti penyenaraian awam yang bertanggungjawab, kami kekal komited untuk mematuhi piawaian tadbir urus korporat yang kukuh, ketelusan dan integriti dalam semua aktiviti kami," katanya.

SEB turut memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan akan diteruskan seperti biasa.

"Menyedari kepentingan untuk memastikan pihak berkepentingan sentiasa dimaklumkan, kami akan menyediakan maklumat terkini mengikut kesesuaian sekiranya terdapat sebarang perkembangan terbaharu," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan media pada 17 Mac bahawa SPRM sudah membuka dua kertas siasatan berhubung rasuah dan salah guna dana melibatkan SEB.

-- BERNAMA