KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis tanggapan sudah tidak lagi menjadi "watak penting" dalam urusan mengendalikan skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata sebaliknya, skuad negara yang kini sedang melalui proses revolusi, masih berada di bawah bidang kuasa badan induk sukan itu selain mendapat bantuan daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

"Istilah kita swastakan skuad kebangsaan itu tiada, skuad kebangsaan masih di bawah carta organisasi FAM.

"Bagi FAM, kita menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor yang banyak membantu dalam merealisasikan revolusi Harimau Malaya. Banyak bantuan dan sokongan telah diberikan," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa FAM di sini semalam.

Sebelum ini, timbul persepsi Harimau Malaya telah bergerak secara bebas serta berasingan daripada FAM setelah Tunku Mahkota Ismail dilihat menjadi individu yang lebih ke hadapan ke arah mentransformasikan skuad yang akan turun beraksi pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.

Noor Azman berkata FAM dalam masa sama tetap memainkan peranan dalam urusan kemasukan pemain warisan baharu bagi memantapkan skuad kebangsaan.

"Kita ada sistem tersendiri. Skuad kebangsaan bantu apa yang mereka boleh buat dan kami di pihak persatuan lakukan apa yang perlu dibuat," katanya.

Rabu lepas, dua pemain warisan baharu mencetus sensasi dalam kalangan peminat sukan bola sepak tanah air apabila membuat kemunculan dengan menyertai latihan bersama skuad Harimau Malaya.

Dua pemain itu ialah tonggak tengah kelab dari Portugal, Portimonense S.C, Hector Hevel dan pemain pertahanan CD Tenerife B, Gabriel Palmero.

-- BERNAMA