Anadolu Ajansi melaporkan Ushakov, ketika sidang media di Moscow, mengesahkan tarikh itu ditetapkan semasa panggilan telefon dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Michael Waltz.
"Michael Waltz, Pembantu Presiden AS bagi Keselamatan Negara, berkata semalam bahawa kami telah mengadakan perbualan, dan saya mengesahkan bahawa ia memang berlaku. Kami kerap berkomunikasi, dan saya mendapati komunikasi ini sangat bermanfaat bagi kedua-dua pihak," kata Ushakov.
Beliau memaklumkan bahawa pertemuan akan diadakan di peringkat pakar bagi menilai kebolehlaksanaan pelaksanaan inisiatif terkenal mengenai keselamatan navigasi di Laut Hitam.
Ushakov merujuk kepada perjanjian yang dikenali sebagai 'perjanjian bijirin,' yang diusahakan oleh Turkiye dengan penglibatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres. Namun, beliau mengakui bahawa perjanjian itu tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya.
Delegasi Rusia akan diketuai oleh bekas timbalan menteri luar yang kini merupakan ahli parlimen, Grigory Karasin bersama Sergey Beseda, penasihat kepada pengarah Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), menurut Anadolu.
Ushakov menyifatkan mereka sebagai "perunding yang sangat berpengalaman serta memiliki kepakaran mendalam dalam hal ehwal antarabangsa" dan menyatakan harapan agar perbincangan itu menghasilkan keputusan yang produktif.
-- BERNAMA
