Ringkasan AI
- DBKL memberi jaminan tiada perobohan kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman selagi rundingan dengan pemegang taruh belum selesai, walaupun tanah tersebut sudah menjadi hak milik syarikat swasta.
- Pengurusan kuil berharap untuk kekal di tapak tersebut kerana kuil telah wujud lebih daripada 130 tahun dan penjualan tanah pada 2014 tidak dimaklumkan kepada mereka.
- DBKL mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu kuil tersebut kekal dan mengambil kira hak 'equitable interest of land' yang dimiliki oleh pengurusan kuil.
Wakil pengurusan kuil, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, bagaimanapun badan pengurusan masih berharap untuk terus kekal di atas tapak tersebut, walaupun tanah tersebut sudah menjadi hak milik syarikat swasta.
Beliau berkata, DBKL mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu kuil tersebut kekal, kerana ia telah wujud di atas tapak tersebut lebih daripada 130 tahun, selain urusan penjualan tanah yang berlaku pada 2014 tidak dimaklumkan kepada mereka.
“Apabila tapak itu dijual, pengurusan kuil langsung tidak dimaklumkan, sedangkan mereka juga mempunyai ‘equitable interest of land’. Jadi kami menggesa DBKL dan pemilik tanah untuk mengambil kira hak ini. Anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kepentingan kuil ini.
“Ada sesuatu yang unik tentang Masjid India, anda mempunyai populasi masyarakat India yang besar, sama ada Muslim atau Hindu. Dan kuil ini juga menerima pengunjung bukan sahaja dari dalam tetapi di luar negara. Selama bertahun-tahun mereka hidup aman damai, mengapa kerajaan kini mahu masuk campur?” soalnya dalam sidang media di sini hari ini.
Di dalam kamus perundangan, ‘equitable interest’ atau kepentingan ekuiti membawa maksud hak pihak tertentu dalam sesuatu ekuiti seperti aset atau wang, yang boleh dilindungi melalui remedi tertentu.
Awal hari ini, DBKL memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India, di sini, dan kuil tersebut boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai.
Menurut Maimunah, DBKL memberi jaminan setiap langkah yang sedang dan bakal diambil selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa portal media sebelum ini melaporkan pemilik tanah tersebut bercadang untuk membina sebuah masjid baru, dikenali sebagai ‘Masjid Madani, sambil mendakwa majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada penghujung bulan ini.
Biarpun menyambut baik komitmen DBKL terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan, Ambiga berkata, beliau dan pihak pengurusan tidak bersetuju untuk proses pemindahan kuil ke tapak yang baharu.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, yang juga peguam mewakili pengurusan kuil berkata, pihak DBKL tidak boleh bertindak sebagai pihak luar, kerana penjualan tanah tersebut dilakukan mereka sendiri.
“Dalam erti kata lain, tanah ini menjadi tanah swasta kerana tindakan kerajaan dan pengurusan DBKL terdahulu. Ini bukan semata-mata pembinaan kuil di atas tanah seseorang. Saya rasa surat DBKL (kepada pengurusan kuil) memberi persepsi yang salah.
“Tujuan saya menerangkan perkara ini adalah demi memastikan kita tidak terbuai dengan naratif kononnya ini adalah tanah swasta. Kuil ini bukan bangunan komersial, ini adalah rumah ibadat yang mempunyai sejarah yang cukup lama, selain berfungsi sebagai pusat kebudayaan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk perbetulkan perkara ini,” katanya lagi.
Ditanya sekiranya pihak pengurusan mempunyai niat untuk membawa perkara ini ke mahkamah, Ambiga berkata, mereka berharap agar ia tidak sampai ke tahap tersebut, biarpun ada dahuluan kes (precedent) yang sama, yang memberi kelebihan terhadap kuil.
“Saya rasa kerajaan perlu lebih berhati-hati kerana implikasi terhadap sebarang tindakan adalah amat penting kepada negara. Kita perlu lihat terhadap komuniti itu sendiri, anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengusir pihak ini keluar.
“Kami tidak mahu ke tahap tersebut (mahkamah) biarpun ada dahuluan kes sebelum ini. Kita perlu menyelesaikannya dengan mengambil kira pendekatan komuniti. Jalan penyelesaian juga sudah ada,” katanya lagi.
Ditanya mengenai jalan penyelesaian yang wajar, wakil pengurusan kuil Raj Mohan berkata, terdapat tapak kosong di sebelah kuil yang boleh didirikan masjid berkenaan.
Beliau berkata, dengan semangat masyarakat majmuk di negara ini, penganut agama Islam dan Hindu sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah jika rumah ibadat terletak bersebelahan.
