PUTRAJAYA: Projek rintis sekolah bertingkat bakal dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Pulau Pinang bermula tahun ini bagi menangani isu sekolah padat.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan perkara berkenaan dinyatakan pada mesyuarat pengurusan tertinggi KPM bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

"Inisiatif sekolah bertingkat dengan kerjasama rakan strategik korporat dilaksanakan bagi menangani isu kepadatan terutamanya di lokasi berkepadatan tinggi.

"Ia dapat mengurangkan kos projek dan pada waktu sama memastikan infrastruktur dan akses pendidikan terbaik dapat disediakan untuk murid," menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, KPM memaklumkan pihaknya akan memperkenalkan inisiatif bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dengan lima SBP akan dipilih bagi tujuan itu.

"Pelajar dalam bidang TVET KPM mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi melebihi 99 peratus.

"Fokus utama pada waktu ini adalah untuk tujuan peningkatan kemahiran pelajar TVET KPM bagi memastikan mereka mendapat upah atau gaji yang setara dengan kebolehan setelah tamat pengajian," menurut kenyataan itu.

KPM dalam kenyataan itu turut memaklumkan yang pihaknya bertanggungjawab mempersiapkan tenaga kerja terlatih atau profesional melalui pendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

"Semua murid perlu menguasai bahasa Melayu yang baik. Dalam masa sama, bahasa Inggeris juga perlu dikuasai. Penekanan utama diberi kepada kompetensi guru dan pembudayaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di setiap peringkat," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan enrolmen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu melibatkan semua murid di semua jenis sekolah dengan enrolmen STEM di SBP pada waktu ini adalah sekitar 98 peratus.

"Tumpuan akan turut diberi kepada sekolah harian dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) untuk meningkatkan enrolmen STEM murid," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan Perdana Menteri turut meminta KPM memberi penekanan kepada latihan guru kerana kumpulan itu adalah ejen perubahan yang mampu merubah ekosistem pendidikan di sekolah.

-- BERNAMA