SUNGAI PETANI: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 48.2 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini, malam tadi.

Mangsa, Siti Nortasha Abdullah, 30 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 10.10 malam itu mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM Bonus sedang bergerak dari Sungai Petani ke Gurun.

“Mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Amanjaya, Bedong dan di belakang mangsa terdapat kereta jenis Proton Wira.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian hujan lebat, motosikal mangsa berhenti di simpang untuk membelok ke kanan, masuk ke Taman Permai Pura.

“Kemudian, sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki datang dari arah belakang, cuba membrek namun jarak terlalu dekat mengakibatkan dia gagal, lalu terus merempuh belakang mangsa.

"Mangsa kemudian tercampak ke hadapan lalu berlanggar dengan sebuah kereta jenis Honda City yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Foto PDRM

Wan Azharuddin berkata, akibat impak rempuhan kuat, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu dua kenderaan terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Wan Azharuddin menjelaskan, siasatan lanjut mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta wira yang gagal menjaga jarak dan berada terlalu rapat dengan motosikal mangsa menyebabkan kenderaan tidak sempat membrek.

“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lelaki berusia 24 tahun itu negatif dadah, bagaimanapun dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambahnya.