KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) menerbitkan kertas perbincangan yang menggariskan cadangan dasar bagi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan (NSFL) kedua (2026 - 2030).

Menurut BNM, strategi ini bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi meningkatkan tahap celik kewangan serta membuat keputusan kewangan yang bijak demi kesejahteraan kewangan masing-masing.

"FEN mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai kertas perbincangan ini termasuk cadangan mengenai aspek yang memerlukan penjelasan dan cadangan alternatif yang boleh dipertimbangkan olehnya.

"Bagi memastikan proses perundingan yang membina, maklum balas bertulis perlu disokong dengan rasional dan sebab yang jelas, bukti sokongan atau contoh yang praktikal, mengikut kesesuaian," katanya.

BNM berkata, maklum balas mesti diserahkan secara elektronik kepada sekretariat selewat-lewatnya pada 28 Mac 2025 kepada NS2@bnm.gov.my.

Bank pusat itu menjelaskan strategi yang dicadangkan ini akan berfungsi sebagai pelan hala tuju menyeluruh yang menggariskan langkah untuk memperkukuh keupayaan kewangan, membina daya tahan dan meningkatkan kesejahteraan kewangan untuk masa hadapan yang mampan.

"Strategi tersebut bertujuan membentuk masyarakat celik kewangan melalui pendidikan kewangan yang inklusif, dinamik dan inovatif serta disampaikan secara berterusan melalui pendekatan seluruh negara," katanya.

Kata BNM, pelaksanaan NSFL 2019-2023 berjaya menghasilkan peningkatan yang berterusan berhubung dengan ilmu pengetahuan, tingkah laku dan sikap rakyat Malaysia berkaitan kewangan.

"Bagaimanapun, masih wujud jurang terutamanya dalam kalangan segmen penduduk yang mudah terjejas.

"Aliran terkini seperti peningkatan permintaan untuk penyelesaian kewangan lebih khusus dan penjajaran yang lebih giat dengan matlamat pembangunan lebih meluas seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) juga membentuk semula landskap kewangan, lantas mewujudkan peluang dan cabaran baharu," katanya.

FEN yang ditubuhkan pada bulan November 2016 bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif berkaitan pendidikan kewangan.

Selain itu, ia mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan terhadap penilaian keberkesanan pendidikan kewangan.

-- BERNAMA