KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal pada minggu ini bagi membantu siasatan berkaitan sindiket tawar pinjaman melibatkan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, siasatan ke atas mereka dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).

"SPRM sedang menghubungi mereka bagi menetapkan temu janji untuk direkodkan  keterangan mereka minggu ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Difahamkan, selain penyanyi terkenal, seorang ikon inspirasi juga akan dipanggil berhubung siasatan Op Sky yang dijalankan bersama Bank Negara (BNM).

Berdasarkan siasatan awal, artis-artis berkenaan dibayar sehingga ratusan ribu ringgit bagi menggunakan wajah mereka untuk meyakinkan orang awam menggunakan perkhidmatan disediakan.

Bulan lalu, SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Ia hasil penahanan 12 individu dalam serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi menerusi Ops Sky, meliputi rumah kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam dan modus operandi dipercayai mempunyai unsur rasuah dan pengubahan wang haram.