Panggilan telefon itu dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kepada Najib, yang meminta beliau untuk bercakap dengan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebelum mesyuarat lembaga khas pada 26 Sept 2009, untuk menyampaikan konteks umum inisiatif yang dikatakan sebagai kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.
Najib bagaimanapun, menafikan dakwaan itu dan berkata beliau tidak mempengaruhi pemikiran Mohd Bakke dan panggilan telefon itu hanya menyatakan bahawa usaha sama yang dicadangkan ialah inisiatif strategik antara Malaysia dengan Arab Saudi, dan pada masa sama akan memperkukuh hubungan dua hala antara dua negara.
"Ahli lembaga pengarah tidak dipengaruhi oleh panggilan telefon saya, Tan Sri Mohd Bakke mempengerusikan mesyuarat itu dan ahli lembaga lain tidak tahu mengenai panggilan telefon terbabit.
"Panggilan ini tidak mempengaruhi keputusan lembaga untuk menjalinkan usaha sama," kata Najib ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Merujuk kepada kenyataan saksi Najib, Ahmad Akram berkata bahawa Najib, sebagai pemegang saham tunggal 1MDB melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, menyedari bahawa 1MDB mempunyai kira-kira RM4.3 bilion yang diperoleh daripada bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk digunakan.
Kepada cadangan ini, Najib berkata, "Saya tidak bimbang mengenai perbelanjaan. Saya hanya bimbang tentang kerjasama itu, jumlah (RM4.3 bilion) tiada dalam fikiran saya apabila bercakap dengan Tan Sri Mohd Bakke".
Ahmad Akram: Datuk seri, setuju dengan cadangan saya Datuk Seri diminta oleh Jho Low untuk bercakap dalam telefon berkenaan penggunaan RM4.3 bilion itu. Ia jumlah yang besar Datuk Seri, sepatutnya ada tindakan lebih daripada Datuk Seri (selain hanya bercakap dalam telefon kepada Tan Sri Mohd Bakke).
Najib: Lembaga Pengarah 1MDB adalah profesional, saya tidak meragui panggilan itu akan membawa kepada sesuatu yang memudaratkan 1MDB atau kepentingan negara. Sebab itu saya ingin mereka mempertimbangkannya, tetapi proses ketelitian biasa perlu dijalankan.
Dalam kenyataan saksinya, Najib berkata Jho Low dijemput oleh pengurusan 1MDB untuk membentangkan perspektif PSI termasuk manfaat strategik, unjuran kewangan dan konteks diplomatik lebih luas daripada kerjasama dua hala memandangkan Putera Turki (anak kepada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah) yang pada asalnya dijadualkan hadir tidak dapat berangkat ke mesyuarat itu.
Ahmad Akram mengulangi bahawa Najib tahu 1MDB mempunyai RM4.3 bilion untuk digunakan dan Jho Low yang tidak memiliki sebarang jawatan di 1MDB telah membuat cadangan, namun Najib menggalakkan agar dia membentangkan cadangan itu kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk pertimbangan mereka.
Kepada cadangan ini, Najib berkata beliau hanya mahu Jho Low membuat keputusan yang tepat dan memastikan usaha sama itu berjaya.
Ahmad Akram: Jika begitu keadaannya, mengapa Datuk Seri membuat banyak andaian (dalam kenyataan saksi)? Datuk Seri menganggap Jho Low akan memberitahu mereka (lembaga), Datuk Seri mengandaikan Jho Low akan membuat keputusan bijak, ketika Jho Low bercakap sesuatu perkara, Datuk Seri terus mempercayainya?
Najib: Tidak, saya mahu Jho Low membentangkannya kepada lembaga, malah pilihan utama saya ialah Putera Turki, beliau sepatutnya ada di sana.
Ahmad Akram: Lebih teruk, Jho Low ialah pihak ketiga. Dengan hanya menyatakan dia mewakili kepentingan Raja Abdullah, kemudian Datuk Seri kata "pergilah bentang kepada lembaga".
Najib: Saya tidak kata "pergilah", lembaga menjemputnya hadir. Saya hanya bimbang tentang gambaran besar kerana saya percaya PSI dimiliki Putera Turki dan keluarganya, itu kepercayaan saya.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima RM2.3 bilion dalam dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA