SYDNEY: Seorang perenang wanita maut dalam serangan jerung di perairan berhampiran sebuah lokasi pelancongan popular di pantai timur Australia, menurut pihak berkuasa.

Pasukan kecemasan dikejarkan ke Pantai Woorim di Pulau Bribie, kira-kira 80 kilometer (50 batu) di utara Brisbane, sekitar jam 5 petang waktu tempatan pada Isnin selepas menerima laporan mengenai insiden gigitan jerung yang serius, kata polis negeri Queensland.

"Mangsa sedang berenang apabila diserang oleh seekor jerung… mangsa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa dan tidak dapat diselamatkan," kata jurucakap polis dalam satu kenyataan menerusi e-mel.

Polis tidak mendedahkan usia mangsa, namun media Australia melaporkan, mangsa adalah seorang gadis berusia 17 tahun.

Christopher Potter, seorang penduduk tempatan, berkata pantai tersebut sering digunakan oleh kumpulan perenang sepanjang hari.

“Memang diketahui bahawa terdapat banyak jerung di sekitar Bribie, tetapi untuk serangan berlaku begitu dekat dengan pantai tetap mengejutkan,” katanya kepada penyiar awam Australia, ABC News. - Agensi