Dalam satu hantaran di X, Noboa berkata, beliau terbuka untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Mexico, tetapi “bukan apabila terdapat penyalahgunaan” tanpa memberikan butiran lanjut.
Beliau menegaskan, sehingga perjanjian perdagangan bebas dimeterai, tarif 27 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang diimport dari Mexico.
Menurut data kerajaan Mexico, Ecuador mengimport barangan bernilai AS$541 juta dari Mexico pada tahun 2023, dengan import terbesar adalah ubat-ubatan, yang mewakili 12.6 peratus daripada jumlah eksport Mexico ke Ecuador tahun itu.
Namun begitu, Ecuador merupakan rakan dagang yang sangat kecil bagi Mexico, menyumbang kurang daripada 0.1 peratus daripada nilai eksport Mexico pada tahun lalu, menurut data rasmi Mexico.
Pengumuman ini dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan penangguhan terhadap ancaman tarif 25 peratus ke atas semua import dari Mexico setelah berbincang dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum.
Kementerian ekonomi Mexico, bagaimanapun, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pengumuman Ecuador.
Tahun lalu, hubungan diplomatik antara Ecuador dan Mexico terputus selepas Noboa mengarahkan serbuan ke atas kedutaan Mexico di Quito untuk menangkap Jorge Glas, bekas Naib Presiden Ecuador.
Rakaman pengawasan dari insiden pada April 2024 menunjukkan polis Ecuador bertempur dengan diplomat tertinggi Mexico di kedutaan tersebut ketika mereka menangkap Glas, yang ketika itu sedang mencari suaka politik dari Mexico.
Glas meminta perlindungan daripada pertuduhan penyelewengan dana dengan memohon suaka di Mexico, mendakwa bahawa dakwaan itu bermotifkan politik.
Noboa, anak kepada seorang jutawan industri pisang menjadi Presiden termuda dalam sejarah Ecuador setelah memenangi pilihan raya pada akhir 2023 dengan janji untuk menangani jenayah yang semakin berleluasa.
Sejak itu, beliau melaksanakan agenda tegas, termasuk mengisytiharkan “perang” terhadap lebih 20 kumpulan jenayah. - Agensi