Menerusi ciapan di laman X hari ini beliau berkata Kementerian Perpaduan juga telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan Keharmonian Antara Penganut Agama antaranya menerusi penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI).
"Antara usaha diambil ialah penubuhan tiga biro di bawah HARMONI iaitu Biro Pengurusan Program dan Promosi, Biro Pendidikan dan Penerangan dan Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi.
"Di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional terdapat Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA)," katanya.
Selain itu katanya kementerian juga telah melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI pada April 2024 menerusi pelbagai program seperti Sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, Dialog Harmoni, Jejak Harmoni, Podcast Bicara Harmoni dan Wacana Harmoni.
Menurut Aaron antara libat urus yang pernah diadakan tahun lepas termasuk Sinergi Advokasi Pemakanan Kanak-Kanak Dengan Memperkasakan Peranan Rumah Ibadat Dalam Menyampaikan Mesej Dan Maklumat Berkaitan Masalah Beban Berganda Malpemakanan.
Kementerian Perpaduan turut mengadakan Sesi Libat Urus Berkaitan Isu Kuil Di Tapak Hospital Kuala Lumpur dan Sesi Libat Urus Isu Penempatan Kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Agensi-Agensi Kerajaan, katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)