Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman, matlamat konvensyen ini selari dengan teras Dasar Perpaduan Negara ”Perpaduan dalam Kepelbagaian”, iaitu Teras 02: Identiti Nasional melalui pelaksanaan Strategi 2: Mengukuhkan Peranan Bahasa Sebagai Medium Integrasi Perpaduan.
“Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara tidak mampu bergerak sendirian dalam usaha ini. Justeru, besarlah harapan saya agar kerjasama antara Arkib Negara Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara dengan rakan-rakan strategik kita dapat dipereratkan demi merealisasikan usaha murni ini.
“Ini akan membuka ruang yang lebih besar kepada percambahan idea dan perkongsian maklumat demi kelestarian bahasa kolokial.
“Pada akhirnya nanti saya harap dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara, Arkib Negara Malaysia akan menerbitkan Daftar Kata Bahasa Kolokial atau Ensiklopedia Bahasa Kolokial dan Prosiding Konvensyen Bahasa Kolokial,” katanya dalam AWANI Pagi pada Rabu.
Jelasnya lagi, Arkib Negara dan Kementerian Perpaduan sentiasa komited untuk menyokong sebarang usaha atau dasar yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan terutama berkaitan dengan perpaduan.
“Oleh sebab itu, kita melihat bahasa sebagai agen perpaduan kaum yang harus diraikan dan disebarluaskan. Ini secara tidak langsung bertepatan dengan idea Malaysia MADANI yang digagaskan oleh kerajaan.
“Saya mengharapkan agar konvensyen bahasa kolokial ini dapat mencapai objektif yang telah digariskan. Ini sangat penting kerana objektif tersebut adalah indikator utama kepada kejayaan program ini.
“Kita juga perlu sedar bahawa objektif yang digariskan ini bukanlah untuk manfaat Arkib Negara Malaysia atau Kementerian Perpaduan Negara sahaja tetapi dalam skop yang lebih besar, ia adalah untuk rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.