KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) mengadakan upacara pecah tanah bagi projek perumahan Residensi Suria Madani, pembangunan Residensi Madani kendiri pertama di Kuala Lumpur.

Terletak di Taman Desa, setiap unit seluas 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM200,000, bermatlamat menawarkan perumahan mampu milik, persekitaran harmoni yang menjelmakan konsep keterangkuman, kemakmuran dan perpaduan.

Bersama unit kediaman, projek tersebut akan merangkumi dewan komuniti yang luas menampilkan dua gelanggang badminton, ruang rekreasi, taman permainan dan ruangan untuk vendor tempatan, menawarkan tempat untuk menyerlahkan kehidupan bermasyarakat.

Residensi Suria Madani mewakili komitmen Mah Sing untuk mewujudkan ruang di mana keluarga dapat berkembang maju, anak-anak dapat bermain dengan selamat, dan penduduk dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.

Turut dilancarkan projek perumahan M Aspira, bersebelahan Residensi Suria Madani, yang terdiri daripada dua menara mengandungi 1,613 unit dengan tiga susun atur dan keluasan berbeza iaitu 706, 855, dan 1,006 kaki persegi, dengan harga bermula RM448,000.

Pembangunan ini bermatlamat menarik golongan profesional bekerja, pelabur muda, keluarga kecil dan kumpulan berpendapatan M40.

Upacara pecah tanah projek Residensi Suria Madani dan pelancaran M Aspira disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Ketua Setiausaha Kerajaan Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, Ahli Parlimen Seputeh Theresa Kok, dan Ketua Laksamana (B) Mah Sing Tan Sri Abu Bakar Abdul Jamal.

“Meraikan ulang tahun ke-30 kami tahun ini, Mah Sing mempunyai hampir 60 projek di serata Malaysia, merangkumi kediaman, komersial, industrial dan hospitaliti.

“Kami secara konsisten melabur dalam mencipta dan menyediakan pembangunan-pembangunan ikonik serta perumahan berkualiti tinggi, sepertimana yang dibuktikan oleh markah QLASSIC tinggi yang dicapai dalam projek-projek kami,” kata pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing Group Berhad Tan Sri Leong Hoy Kum.

Kedua-dua residensi ini terletak di atas tapak seluas 6.17 ekar, boleh diakses melalui Lebuh Raya Persekutuan, MEX, NPE, SPE, Sprint, Smart Tunnel dan lebuh raya KL-Seremban.

Ia juga terhubung dengan pengangkutan awam, dekat dengan Stesen KTM Salak Selatan, LRT Salak Selatan, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), memberikan akses mudah kepada pelbagai pusat beli-belah seperti Mid Valley Megamall, KL Sentral dan Bangsar, juga laluan ke Petaling Jaya dan Cheras.

Mah Sing mendapat Kebenaran Merancang (DO) untuk kesemua projeknya di Kuala Lumpur, hasil kajian geoteknikal disediakan oleh para jurutera bertauliah dan diterima oleh pihak berkuasa berkaitan.

Prime Minister, Dato’ Seri Anwar Ibrahim officiated the launch and groundbreaking ceremony of Residensi Suria Madani in Taman Desa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Mah Sing Group Berhad Datuk Voon Tin Yow memaklumkan bahawa mereka memperoleh lapan tanah pembangunan sejak tahun lepas dengan Nilai Pembangunan Kasar sekitar RM10 bilion.

Termasuk M Aspira di Taman Desa, projek-projek ini akan dilancar dalam tahun ini dan tahun depan, merangkumi M Azura di Setapak, M Zenya di Kepong, M Terra dan M Hana di Puchong, M Legasi di Semenyih, MSS Business Park di Sepang, dan M Tiara 1 & 2 di Johor.

“Tambahan kepada ini, kami mempunyai fasa mendatang untuk M Nova di Kepong, M Panora di Rawang, M Sinar di Southville City, M Minori dan Meridin East di Johor antaranya.

“Hartanah kediaman kami berharga mampu milik dari RM250,000, ideal untuk pembeli rumah kali pertama.”

Kata Tin Yow, mereka yakin dapat mencapai sasaran jualan minimum RM2.5 bilion tahun ini.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa Mah Sing telah memulakan langkah baharu dalam sektor pusat data dengan pelancaran Mah Sing DC Hub@Southville City.

“Kolaborasi kami bersama Bridge Data Centres (BDC) adalah cuma permulaan dan langkah strategik yang melengkapi model perniagaan bangun-dan-jual kami ketika ini.

“Kami membuka pintu kerjasama dengan lebih ramai operator pusat data di Southville City, di MSS Business Park di Sepang kami akan datang, juga di perbandaran terbesar kami Meridin East di Pasir Gudang, Johor Bahru yang sesuai untuk pembangunan pusat data.”