Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata langkah-langkah ini penting kerana ia akan membawa kesan pengganda yang besar ke atas lebih 140 industri, yang seterusnua memberi kesan positif kepada keseluruhan ekonomi.
Antara langkah yang dicadangkan adalah menghidupkan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk membantu pembeli rumah mendapatkan rumah mereka dan menggalakkan pemilikan rumah.
"Insentif yang diberikan di bawah kempen HOC terbukti penting dalam membantu pembeli rumah di samping mengurangkan lambakan rumah yang tidak terjual, seperti pengecualian duti setem 100 peratus bagi hartanah berharga daripada RM300,001 hingga RM1 juta.
"Tawaran diskaun 10 peratus bagi harga pembelian hartanah untuk pembeli rumah kali pertama juga akan membantu usaha menggalakkan pemilikan rumah," katanya dalam satu kenyataan menjelang pengumuman Bajet 2025 pada 18 Oktober 2024.
Leong berkata Mah Sing Group optimis dengan prospek sektor hartanah tempatan, kerana kadar dasar semalaman Bank Negara Malaysia yang stabil pada 3.0 peratus dan keadaan pekerjaan stabil telah menyemai keyakinan terhadap pasaran, menjadikan hartanah sebagai lindung nilai yang kukuh dalam mendepani inflasi.
Beliau juga berharap kerajaan akan memperkenalkan pembayaran sekali geran kepada pembeli rumah kali pertama sebanyak RM30,000 untuk hartanah berharga sehingga RM500,000 bagi meringankan beban kewangan kepada golongan muda dan golongan berpendapatan sederhana, terutamanya di kawasan bandar yang harga hartanah terus melonjak naik.
Beliau juga menyokong pengenalan semula potongan cukai untuk faedah pinjaman perumahan, dasar yang mula diperkenalkan pada 2009-2010.
"Pelepasan cukai ini memberikan sokongan kewangan yang besar kepada pembeli rumah kali pertama dengan membolehkan potongan sehingga RM10,000 setahun ke atas faedah yang dibayar ke atas pinjaman perumahan selama tiga tahun berturut-turut.
"Langkah ini akan menyediakan kelegaan kewangan yang besar kepada pemilik rumah baharu, mengurangkan beban kewangan mereka dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melabur dalam hartanah," kata Leong.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan untuk menimbang mengurangkan atau menghapuskan kos pematuhan dan menyelaras proses kelulusan untuk mengurangkan tekanan terhadap kos pembangunan dan harga rumah.
Antara langkah-langkah termasuklah mengurangkan caj pembangunan, menurunkan premium penukaran tanah dan mengecualikan caj sumbangan utiliti.
"Mempermudahkan proses kawal selia dan mempercepatkan kelulusan akan membantu pemaju mengurangkan garis masa dan kos projek, menjadikan rumah lebih mampu milik untuk orang ramai," katanya.
Leong seterusnya mencadangkan pelepasan cukai dan geran untuk pemaju yang menggabungkan teknologi bangunan hijau dalam projek mereka, memacu sektor itu ke arah amalan yang lebih mampan yang dapat membantu usaha pemuliharaan alam sekitar.
-- BERNAMA