CHERAS: Kenaikan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan diumumkan secara kaedah kasar terlebih dahulu dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, dengan kenaikan gaji pada Disember depan, negara berharap perkhidmatan kepada rakyat akan jauh lebih baik di masa hadapan.

"Dalam beberapa minggu ini saya akan umumkan beberapa kaedah kasar pelarasan gaji yang akan membuktikan dalam sejarah bahawa Malaysia walaupun ada surat-surat pembangkang yang memang tak pernah reti bersyukur dan terima kenyataan.

"Tetapi percayalah bila saya umumkan nanti, sebahagian dia bulan Ogos ini dan kemudian lengkapnya seperti saya janjikan pada bulan Oktober (dalam) Belanjawan Negara dan dilaksanakan pada 1 Disember," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI (PPAM MADANI) di Bandar Sri Permaisuri, di sini, pada Selasa.

Anwar berkata, tiga perkara ditekankan dalam menyelaraskan gaji penjawat awam iaitu tiada kajian menyeluruh kenaikannya sejak 12 tahun lalu selain mengiktiraf peranan penjawat awam.

"Sebabnya, pertama, negara membangun, tetapi selama 12 tahun, tidak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji, 12 tahun. Kedua, kerana mengiktiraf peranan mereka selama ini.

"Kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti, tapi penjawat awam punyai tugas secara profesional melaksanakan amanah ini.

"Ketiga yang penting dengan pelarasan gaji ini kita mahu supaya khidmat mereka kepada rakyat jauh lebih baik setimpal dengan gaji diterima," katanya.