KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar semangat jiwa merdeka dan perpaduan yang ditonjolkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini kekal berpanjangan.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat jiwa merdeka dan perpaduan yang ditonjolkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 kekal berpanjangan dan mampu memacu usaha mengangkat martabat negara.
  • Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya dihadiri lebih 100,000 pengunjung, dengan perbarisan dan perarakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 udara, serta 112 haiwan dalam perkhidmatan.
  • Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah buat pertama kali selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.


Beliau turut menzahirkan harapan agar semangat yang ditonjol oleh rakyat itu mampu memacu usaha mengangkat darjat dan martabat negara ke tahap lebih hebat.

"Sebelum bergerak pulang, saya dan (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) mengambil peluang untuk ketemu peserta perarakan dan rakyat yang bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya.

"Saya amat berbangga kerana dapat berkongsi semangat patriotik, perpaduan dan kecintaan pada tanah air ini bersama-sama kalian di hari penuh bersejarah dan bermakna ini," kata beliau menerusi catatan di laman Facebook hari ini.


Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang dihadiri lebih 100,000 pengunjung itu disemarakkan dengan perbarisan dan perarakan oleh 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah buat pertama kali selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 masing-masing pada 31 Jan dan 20 Julai lepas.

-- BERNAMA