Menurut Kementerian Perpaduan Negara, langkah ini bertujuan memperkukuh hubungan komuniti melalui penciptaan ruang sosial dan fizikal sebagai platform integrasi masyarakat selaras dengan inisiatif Pemerkasaan KRT Progresif.
“Tapak dipilih berdasarkan keaktifan dan partisipasi positif KRT serta penduduk setempat; kawasan berpopulasi padat dan kawasan perumahan strata tanpa ruang komunal/ruang komunal terhad/ruang sedia ada yang periu penambahbaikan seiring dengan keperluan semasa.
“Projek ini diharap dapat memperkasakan komuniti dengan memberikan mereka ruang untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kejiranan," menurut kenyataan hari ini.
Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bagi mempengerusikan mesyuarat tersebut bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta barisan ahli majlis seramai 12 orang yang terdiri tokoh masyarakat.
Inisiatif ini akan melibatkan kerjasama antara Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Badan Pengurusan Bersama (JMB), serta komuniti setempat bagi memastikan setiap pembangunan memenuhi keperluan sebenar penduduk.
Sementara itu, mesyuarat turut membincangkan hasil Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mendapati tahap kesepaduan sosial di kedua-dua negeri ini berada pada tahap tinggi.
"Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak ini boleh dijadikan panduan dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional melalui beberapa strategi seperti merapatkan jarak sosial melalui pembangunan modal insan dan infrastruktur," jelas kenyataan itu lagi.
Bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara, mesyuarat turut bersetuju melantik Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil MPPN yang akan bertanggungjawab memantau dan menangani sebarang tuturan berbaur hasutan (hate speech) yang boleh mengganggu-gugat kestabilan sosial negara.
MPPN juga memutuskan untuk melibatkan lebih banyak kementerian dalam usaha perpaduan ini, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Fadillah turut menekankan pentingnya sokongan dari semua pihak, termasuk sektor swasta, dalam mempromosikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Beliau menyeru agar lebih banyak dialog antara agama diadakan untuk memupuk persefahaman dan rasa hormat dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang agama dan budaya.