ALOR GAJAH: Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut dipercayai dirempuh pemandu mabuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bekerja di Jalan Jeram, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, mangsa Muhammad Syairazi Rahmat, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang masih bujang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Masjid Tanah menghala ke rumahnya di Kuala Sungai Baru.

Namun menurutnya, setiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun yang juga seorang penganggur dari arah bertentangan telah masuk ke laluan mangsa lalu merempuhnya.

"Akibat kemalangan itu mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia.

"Pemandu kereta yang beralamat di Sungkai, Perak itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di zon merah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal juga mendapati pemandu terbabit dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

"Sampel darah pemandu juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi pengesahan kandungan alkohol dan dadah.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Sinar Harian