SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Persiaran Mokhtar Dahari menghala ke Puncak Alam kira-kira jam 6.30 petang di sini, pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa melanggar belakang sebuah lori
yang dipercayai berhenti di bahu jalan untuk melakukan kerja memasang banner di tiang lampu kiri jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Dalam pada itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Inspektor Muhammad Najib di talian 019-7757354.