Ringkasan AI
- Muhammad Adib Adnan, 33, meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan sebuah treler, kereta Honda Civic, dan motosikal Yamaha MT09 di Kilometer 69.5 arah Utara berhampiran Machap.
- Dua lelaki yang menaiki kereta Honda Civic mengalami kecederaan, dengan seorang tersepit di tempat duduk pemandu. Operasi menyelamat melibatkan 12 anggota bomba dan dua jentera.
- Semua lorong arah Utara terhalang, menyebabkan trafik terhenti sejauh empat kilometer. Pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif dan berhati-hati.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Abd Rahim Razali berkata Muhammad Adib Adnan, 33, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Volvo 40 tan, kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MT09 itu kira-kira pukul 7.43 pagi.
"Mayat Muhammad Adib kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki kereta Honda Civic pula mengalami kecederaan.
"Seorang daripada mereka tersepit di tempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh PKO Renggam dan seorang lagi telah dihantar ke hospital oleh orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Rahim bagaimanapun berkata pemandu treler yang berusia 40 tahun itu dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Beliau berkata operasi menyelamat itu melibatkan dua jentera bomba jenis Fire Rescue Tender serta dibantu PKO Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dengan kekuatan 12 anggota yang tamat sepenuhnya pada 9.11 pagi.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam hantaran menerusi laman sosial X memaklumkan semua lorong arah Utara terhalang dan trafik terhenti empat kilometer serta menyarankan pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif, di samping berhati-hati dalam perjalanan masing-masing.
-- BERNAMA