RAMALLAH: Persekutuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah merasmikan pejabat luar pertamanya di Palestin, yang terletak di ibu pejabat Agensi Berita Palestin (WAFA) di Ramallah.

Menurut WAFA, majlis perasmian itu dihadiri oleh Penyelia Am Media Rasmi di Palestin Ahmad Assaf, Setiausaha Agung OIC Hissein Brahim Taha, Pemangku Pengerusi Majlis Eksekutif Persekutuan Agensi Berita OIC Ali Al-Zaid, Ketua Pengarah Persekutuan Mohammad Al-Yami serta Wakil Tetap Palestin ke OIC, Hadi Shibli.

Assaf menyifatkan acara itu sebagai satu pencapaian bersejarah, dan menyatakan bahawa perasmian berkenaan menyampaikan mesej solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan perjuangan mereka yang adil.

"Langkah ini menegaskan semula hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka serta sokongan tidak berbelah bahagi OIC terhadap hak itu.

"Ia juga merupakan langkah ke arah penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," katanya.

Beliau menekankan peranan penting media rasmi Palestin, khususnya WAFA, dalam memperkukuh naratif Palestin.

Assaf turut mengiktiraf sokongan berterusan OIC dalam melindungi tempat suci Islam dan Kristian, khususnya Masjid Al-Aqsa, selain membantu rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk menentukan nasib sendiri, kebebasan dan kemerdekaan.

-- BERNAMA