Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Sekretariat Agung OIC menyatakan kebimbangan yang serius mengenai perkara itu, menyifatkannya sebagai "arahan yang tidak dijangka dan sangat mengecewakan".
"Sekretariat Agung menyesali dekri ketat baharu ini yang melarang wanita daripada mengikuti pendidikan perubatan. Keputusan sedemikian datang bukan sahaja sebagai tamparan yang mengecewakan kepada hak asasi wanita Afghanistan, tetapi ia juga berkemungkinan menghasilkan kesan buruk kepada sistem penjagaan kesihatan Afghanistan yang menghadapi cabaran yang menggerunkan," menurut kenyataan itu.
Sekretariat Agung turut menyatakan harapan bahawa melalui penglibatan yang komited dan membina dengan pihak berkuasa de facto di Kabul, langkah-langkah positif dapat diambil untuk menarik balik sebarang larangan ke atas wanita muda dan kanak-kanak perempuan Afghanistan bagi mengakses pendidikan selaras dengan Resolusi OIC dan hak wanita dalam Islam.
"Sekretariat Agung dengan tegas menyeru pihak berkuasa de facto di Kabul untuk mengkaji semula langkah-langkah terbaru itu," katanya.
-- BERNAMA